Ramai orang buat tak endah bila ada ketulan di leher. Walaupun kebanyakannya adalah tidak berbahaya (benign), ada juga bengkak di leher yang boleh jadi tanda jangkitan serius atau kanser leher. Dan disinilah pentingnya anda bertindak atau buat rawatan lebih awal.
Untuk tahu tindakan jenis apa yang perlu anda ambil, maka anda kena tahu dulu puncanya dulu.
Punca yang berbeza memerlukan rawatan yang berbeza.
Dalam artikel ini, Doktor Hillview nak dedahkan punca ketulan di leher mengikut anatomi atau organ yang terdapat pada leher.
Punca Ketulan di Leher Ikut Anatomi
Jom kita buat ‘bedah’ secara ringkas untuk tahu organ apa yang ada pada leher dan bagaimana ia boleh jadi ketulan.
Jangan risau…
Doktor Hillview tak berhajat pun nak peningkan anda dengan istilah yang pelik-pelik.
Cukup anda tahu bahawa setiap ketulan di leher boleh berpunca daripada organ yang berbeza di leher.
Ni Doktor Hillview dah letak gambar sekali supaya mudah untuk anda faham.
Kita mula dengan organ paling luar iaitu;
1. Kulit & tisu bawah kulit leher
Secara asasnya kulit kita ada beberapa lapisan;
- kulit (epidermis dan dermis)
- lapisan tisu lemak
- lapisan otot
Ketulan di leher yang biasa berlaku disebabkan lapisan-lapisan ini ialah:
#1 Lipoma (ketulan lemak)

- Ketulan Lipoma lembut bila disentuh dan boleh ke kiri atau kanan (mobile) bila digerakkan.
- Biasanya wujud di leher, belakang badan atau bahu.
- Tidak sakit kecuali bila ia membesar sehingga menekan urat saraf.
Selain lipoma, boleh juga wujud cyst kulit seperti sebaceous/epidermoid cyst yang nampak seperti “biji” bawah kulit dan boleh merah atau bernanah bila dijangkiti.
Baca juga: Lipoma Removal: Ketulan Lemak Perlu Buang atau Tidak?
2. Kelenjar tiroid (Thyroid gland)

Kelenjar Thyroid berbentuk seperti “rama-rama” di bahagian tengah depan leher dan mengelilingi kedua-dua sisi Trachea.
Antara ketulan yang boleh berlaku disebabkan organ ini:
#2 Beguk (Goiter)

- Beguk adalah ketumbesaran kelenjar Thyroid yang tidak normal.
- Boleh berlaku bila hormon tiroid terlalu tinggi atau terlalu rendah, atau akibat kekurangan iodin.
- Ketumbesarannya yang tidak normal mungkin boleh sebabkan rasa ketat di leher, susah menelan, sesak nafas atau batuk kasar.
- Sesetengah pesakit rasa pening atau tak selesa bila melunjurkan tangan ke atas kepala kerana salur darah dan salur udara sedikit terhimpit.
#3 Kanser Thyroid

- Kanser Thyroid berlaku bila sel Thyroid mula membiak atau membesar secara agresif.
- Ciri-cirinya seakan sama dengan Beguk, tapi lebih parah. Pesakit sentiasa rasa sakit dan terdapat beberapa ketulan lain disebabkan kelenjar limfa yang membengkak.
#4 Thyroglossal duct cyst (TDC)

Masalah ini bukan dari kelenjar tiroid itu sendiri, tetapi daripada salur (duct) yang terbentuk semasa janin dimana sepatutnya hilang, tetapi sebahagian boleh kekal dan menjadi cyst.
-
Biasanya berada di garis tengah leher, bergerak naik bila menelan atau menjelir lidah.
-
Lebih kerap berlaku pada kanak-kanak, terutama sebelum umur 10 tahun, kerana ia adalah masalah kongenital (sejak lahir).
-
Boleh meradang atau bernanah selepas jangkitan salur pernafasan atas.
3. Kelenjar limfa leher (neck lymph node)

Terdapat lebih daripada 100 kelenjar limfa pada setiap sisi leher, tersusun sepanjang di depan dan belakang otot sternocleidomastoid (SCM), dari bawah telinga sampai ke tulang Clavicle (supraclavicular & infraclavicular).
#5 Jangkitan/Radang Kelenjar Limfa

Seperti yang berlaku dalam kanser Thyroid, kelenjar limfa yang bertindak sebagai benteng pertahanan akan membengkak jika terdapat benda asing sedang menyerang, seperti sel kanser.
Selain itu, kondisi seperti jangkitan Tonsil, jangkitan virus (HIV) juga boleh menyebabkan kelenjar limfa membengkak.
Kelenjar air liur (Parotid gland)

Parotid gland terletak di depan telinga, meliputi kawasan dari tulang pipi (zygoma) turun ke belakang rahang dan masuk sedikit ke bahagian atas leher.
Manakala, Submandibular gland terletak di bawah separuh belakang tulang rahang bawah, di atas tulang hyoid, kira-kira di kawasan bawah dagu ke belakang sedikit.
#6 Jangkita Kelenjar Air Liur
Masalah yang boleh berlaku adalah ketumbuhan parotid dan submandibular, seperti pleomorphic adenoma atau kanser Warthin’s.
Punca Ketulan di Leher Ikut Tahap Bahaya
Selain itu, ketulan di leher juga boleh dikategorikan mengikut ‘karakter’ ketulan itu sendiri iaitu;
- Benign: ketulan itu sendiri bukan kanser dan selalunya tidak mengancam nyawa, tetapi masih boleh perlukan rawatan jika sakit, bernanah atau mengganggu fungsi/penampilan.
- Malignant: ketulan yang datang daripada kanser – sama ada kanser pada organ asal (tiroid, kelenjar air liur, nod limfa) atau kanser dari tempat lain yang merebak ke leher.
| Benign | Malignant |
|---|---|
| Jangkitan kelenjar limfa (selesema, tonsillitis, jangkitan gigi, jangkitan kulit) | Kanser tiroid yang muncul sebagai nodul atau bengkak di depan leher. |
| Cyst kongenital (thyroglossal duct cyst, branchial cleft cyst, dermoid cyst) | Lymphoma (Hodgkin & non‑Hodgkin), leukemia dengan kelenjar limfa leher membesar. |
| Lipoma (ketulan lemak) | Sel kanser bergerak (metastasis) ke kelenjar limfa leher daripada kanser mulut, tekak, hidung, kulit atau organ lain (paru-paru, payudara, perut, usus) |
| Beguk (Goiter) | Kanser kelenjar air liur (parotid, submandibular) |
| Ketumbuhan benign kelenjar air liur (contoh pleomorphic adenoma) | Kanser kulit (melanoma atau non‑melanoma) di kawasan kepala/leher yang melibatkan nod limfa. |
| Lymphangioma, hemangioma dan ketumbuhan vaskular lain (lebih biasa pada kanak-kanak) |
Untuk memudahkan lagi kefahaman, anda boleh rujuk carta-alir dibawah ini;

Bila Perlu Jumpa Doktor?
Secara umum, anda patut berjumpa doktor jika:
- Ketulan di leher tak surut selepas 2–3 minggu.
- Ketulan makin besar, keras atau melekat (tak boleh digerakkan).
- Ada simptom lain seperti:
- Demam berpanjangan.
- Turun berat badan tanpa sebab.
- Peluh malam yang banyak.
- Suara serak, susah telan atau susah bernafas.
Langkah paling selamat kalau anda ragu-ragu tentang ketulan di leher walaupun tak sakit adalah lebih baik datang ke klinik untuk buat pemeriksaan.
Rawatan awal bukan saja boleh menyelesaikan masalah kecil dengan cepat, tetapi juga boleh mengesan kanser di peringkat awal dimana peluang sembuh masih sangat tinggi.